SEPANG – Bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid sekali lagi menagih tuah bumi China pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Syria dan skuad Dragon Team di Chengdu, Rabu dan Sabtu ini.
Sebelum ini pemain kelahiran Terengganu itu sentiasa memiliki tuah di bumi China apabila menjaringkan gol ketika wakili skuad negara di Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) 2018 dan Liga Juara-Juara Asia 2019 bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).
“InyaAllah kalau diberi peluang saya akan buat yang terbaik dan saya rasa dengan skuad kali ini kita ada peluang cerah (raih keputusan positif).
“Yang penting pasukan raih kemenangan, tidak kisah siapa yang jaringkan gol kerana kami lebihkan kerja berpasukan.
“Apa-apa pun saya terima arahan daripada jurulatih. Apa yang dia berikan kita cuba laksanakan dalam padang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), hari ini.
Ketika Piala Asia B-23 2018, Safawi menjaringkan dua gol, masing-masing ketika menentang Iraq dan Jordan sekaligus bantu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mara ke suku akhir.
Pada kempen Liga Juara-Juara Asia 2019, Safawi menyumbangkan satu gol ketika menentang kelab China, Shandong Luneng yang ketika itu dibarisi bekas pemain Liga Perdana Inggeris, Marouane Fellaini dan Graziano Pelle. – KOSMO! ONLINE