fbpx

Mahkamah: Samirah, dua remaja individu terakhir bersama Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Samirah (tengah) ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/KOSMO!

PUTRAJAYA – Pendakwaan hari ini berhujah bahawa fakta Samirah Muzaffar dan dua remaja merupakan individu terakhir dilihat bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Allahyarham Nazrin Hassan mampu memberikan inferens bahawa mereka merupakan yang bertanggungjawab atas kematian lelaki itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata tiada sebarang keterangan yang dikemukakan bagi menunjukkan terdapat orang lain berada bersama Nazrin sebelum berlaku kejadian kebakaran yang didakwa meragut nyawa lelaki berkenaan.

“Berdasarkan kepada keterangan-keterangan tersebut serta keterangan ikut keadaan yang dikemukakan, secara kumulatifnya menjurus ke arah hanya satu inferens dan konklusi sahaja iaitu responden-responden (Samirah dan dua remaja) adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kematian mangsa, tidak ada orang yang lain.

“Berdasarkan kepada fakta bahawa responden-responden adalah ‘last seen person’ dengan mangsa (Nazrin), adalah munasabah untuk dibuat inferens bahawa responden-responden mempunyai peluang untuk membunuh mangsa,” ujar Yusaini.

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 20 dan 17 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Selain itu, pihak pendakwaan turut berhujah, Nazrin didakwa ada berhasrat menceraikan Samirah sebelum kejadian berkenaan.

Ini kerana rakan baik Nazrin, Eliza Elias, diberitahu mengenai masalah perkahwinan pasangan berkenaan dan hasrat CEO syarikat terbabit.

Kata beliau, Nazrin menyatakan perkara itu kepada Eliza yang juga saksi pendakwaan ke-29 (SP29), mengenai isu penceraian yang dibincangkan dengan Samirah.

“Selain itu, SP29 dan SP47 (pembantu peribadi Nazrin, Nurul Anisah Abdullah) ada memberitahu mahkamah bahawa prestasi kerja Nazrin mula merosot selepas mendirikan rumah tangga bersama responden pertama (Samirah).

“CEO terbabit ada masalah kewangan serta berlaku pergaduhan antara pasangan berkenaan.

“Meskipun semua responden (Samirah dan dua remaja) cuba menunjukkan kepada mahkamah bahawa perkahwinan pasangan itu adalah perkahwinan bahagia, namun hakikat sebenar adalah Nazrin ingin bercerai dengan responden pertama,” katanya.

Pada masa sama, fakta bahawa Allahyarham Nazrin telah meninggal dunia sebelum kejadian kebakaran berlaku tidak dipertikaikan oleh pembelaan.

“Di dalam kes ini, SP46 (Pakar Forensik Patologi, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Siew Sheue Feng) mendapati Nazrin telah pun mati sebelum kebakaran berlaku kerana ketiadaan jelaga di dalam trakea (saluran pernafasan) mangsa. Mangsa ditemui terbaring di bahagian tepi katil dan kebakaran berlaku di atas katil.

Berhujah lanjut, Yusaini turut mengatakan Samirah telah memberitahu SP18, Dr. Abdul Aziz Che Hassan yang juga abang iparnya bahawa `berkemungkinan telefon bimbit meletup dan menyebabkan kebakaran’ pada petang kejadian sedangkan pihak bomba masih belum membuat sebarang ulasan dan mayat masih belum dibedah siasat.

“Bagi responden kedua (remaja berusia 20 tahun), tingkah laku yang boleh dilihat ialah apabila remaja itu keluar dari bilik di tingkat bawah selepas kebakaran dipadamkan. Di dalam keadaan kekecohan kebakaran di bilik di tingkat atas, bagaimana Responden Kedua masih tidak sedar atau tidak tahu mengenai kejadian tersebut sedangkan pihak Bomba mengesahkan bau asap boleh dihidu oleh penghuni di tingkat bawah?

“Selain itu, responden ketiga (remaja berusia 17 tahun) memberitahu SP28 (pemandu mangsa, Muhammad Nabil Faqih Abdul Rahim) ‘Uncle Nazrin mungkin ada orang pukul atau buat macam itu dan sebab dekat belakang ada darah sambil tangan di belakang kepala’.

“Bagaimana responden ketiga tahu tentang belakang kepala mangsa berdarah pada waktu itu melainkan responden ketiga sememangnya tahu dari awal tentang apa yang berlaku kepada mangsa,” kata Yusaini.

Allahyarham Nazrin.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika berhujah mendakwa tingkah laku sebagaimana yang dinyatakan oleh pendakwaan tidak boleh digunakan sebagai asas untuk menunjukkan kesemua responden bersalah.

Dakwaan bahawa mangsa dan responden kedua serta ketiga tidak mempunyai hubungan yang baik juga adalah samar dan tidak jelas.

“Secara rumusannya, tiada sebarang bukti menunjukkan bahawa kecederaan yang menyebabkan kematian mangsa adalah disebabkan oleh kesemua responden. Oleh itu, pendakwaan gagal menunjukkan proma facie dalam kes mereka,” kata Muhammad Shafee.

Hujahan di hadapan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung lagi esok.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun 2022 yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja.” – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI