LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp melabel Dominik Szoboszlai sebagai mesin selepas bintang Hungary itu menjadi tonggak kepada kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa, kelmarin.
Bintang Hungary itu membuka akaun jaringannya bersama The Reds ketika membuka jaringan perlawanan seawal minit ketiga dan Klopp anggap gol berkenaan cukup luar biasa.
“Anda menganggap dia adalah mesin? Prestasi yang baik dalam empat perlawanan, bijak ketika mengawal bola dan bekerja keras selain dia juga tidak suka bermain dengan terlalu ‘fancy’.
“Apa yang lebih penting adalah melihat Curtis Jones dan Dominik berjaya menutup ruang. Saya menyaksikan jaringan itu dari arah belakang dan saya boleh katakan jaringan itu adalah terbaik,” katanya.
Seterusnya, Liverpool makin selepas apabila bola percubaan Darwin Nunez terkena Matty Cash dan menerjah gawang sebelum Mohamed Salah melengkapkan jaringan ketiga.
Dalam masa sama, Klopp juga memuji peranan dimainkan Joe Gomez dan Joel Matip di bahagian pertahan sekaligus melengkapkan aksi sempurna sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.
“Ia perlawanan yang hebat dan kami melaksanakannya dengan baik ketika menyerang dan bertahan. Ketika menentang pasukan seperti Villa kami tidak boleh mengendurkan langkah, namun jaringan pertama jelas banyak membantu kami.
“Kami menggunakan formasi dengan tepat dan semua pemain mahukan bola. Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan komitmen pemain kerana pasukan lawan sangat kuat,” ujarnya. – AGENSI