KULIM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima 47 aduan membabitkan isu beras menerusi Ops Jamin yang dijalankan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), baru-baru ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, aduan yang diterima melibatkan harga beras import serta dakwaan beras tempatan dicampur dengan beras import.
Katanya, Ops Jamin dijalankan dua kementerian itu untuk memantau serta menjalankan pemeriksaan berkaitan isu beras di seluruh negara bermula 7 Julai hingga 2 September lalu.
“Dalam tempoh operasi dijalankan, kita menjalankan sebanyak 1,053 pemeriksaan dan terdapat 47 aduan mengenai isu beras iaitu berkaitan harga beras import serta dakwaan beras tempatan dicampur dengan beras import,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Inisiatif Payung Rahmah bersama SJ Circle Sdn. Bhd. di Kulim Industrial Estate, di sini hari ini.
Fuziah berkata, harga beras tempatan masih kekal RM2.60 sekilogram sementara harga beras import tidak dikawal dan mengikut harga pasaran.
Katanya, banyak aduan mengenai harga beras import, namun pihaknya tidak boleh mengambil tindakan kerana harganya tidak dikawal, melainkan ia adalah beras tempatan.
Berhubung dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat beras tempatan dicampur dengan beras import, Kata Fuziah, tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya dakwaan itu dapat dibuktikan. – KOSMO! ONLINE