fbpx

‘Abdul Hadi betul sakit, bukan lari siasatan polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas menafikan dakwaan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengelak daripada disiasat pihak polis sebaliknya terpaksa menangguhkan proses tersebut bagi rawatan di sebuah hospital di Terengganu, kelmarin.

Setiausaha Politiknya, Mohd. Syahir Che Sulaiman berkata, dakwaan itu tersebar ekoran pertemuan Ahli Parlimen Marang itu dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada hari tersebut.

Kata beliau, pihaknya telah memaklumkan kepada pihak polis berkaitan rawatan tersebut seawal 8 pagi, kelmarin.

“Rawatan antibiotik yang mengambil masa kira-kira tiga hingga empat jam itu menyebabkan proses rakaman percakapan tidak dapat dilakukan pada hari tersebut (Sabtu).

“Ini menyebabkan Tok Guru (Abdul Hadi) terlepas temu janji (rakam keterangan) dengan pihak polis kerana rawatan selesai pada 11.30 pagi sebelum bertolak ke Kuala Lumpur pada 12 tengah hari.

“Jadi saya telah memaklumkan terlebih awal pada 8 pagi dan mereka (polis) setuju serta berikan tarikh baharu iaitu hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat PAS Pusat, di sini, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan Bukit Aman berkaitan perkara ini.

“Jadi tidak timbul soal Tuan Guru tidak sihat atau berhelah dan mengelak untuk dirakam keterangan. Pertemuan dengan Dr. Mahathir serta mesyuarat empat menteri besar itu sememangnya dalam jadual asal,” ujarnya.

Semalam, seorang pemimpin PKR mempersoalkan sama ada Abdul Hadi, benar-benar menghadapi masalah kesihatan selepas Ahli Parlimen Marang itu dilihat menghadiri pertemuan Dr. Mahathir Mohamad. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI