KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelancongan Terengganu menafikan dakwaan kononnya terlibat dalam kutipan deposit bagi tapak berniaga program Jom Heboh yang kononnya dijadual berlangsung pada pertengahan bulan lalu.
Pengarah Pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, pihaknya tidak pernah terlibat dalam penganjuran program yang dikatakan berlangsung pada 17 hingga 21 Ogos berkenaan.
“Saya juga difahamkan program itu tidak pernah wujud malah kali terakhir ia diadakan di negeri ini pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.
“Jabatan Pelancongan Terengganu juga tidak pernah terlibat dalam sebarang kutipan deposit tapak berniaga bagi program tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian berikutan tular dakwaan seorang individu di media sosial kononnya menjadi mangsa penipuan tapak perniagaan program Jom Heboh berkenaan.
Individu yang mendakwa orang tengah Jabatan Pelancongan Terengganu dikatakan telah melarikan diri dan enggan memulangkan deposit tapak perniagaan program yang kononnya telah dibatalkan saat akhir.
Fadli Yusof berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia berkemungkinan didakwa pihak tidak bertanggungjawab dengan memanipulasi nama Jabatan Pelancongan negeri.
“Saya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut sekaligus membersihkan nama Jabatan Pelancongan negeri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE