GEORGE TOWN – Tindakan Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY) yang memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di institusi pengajian tinggi (IPT) seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dianggap membuang masa semata-mata.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, garis panduan itu tidak wujud kerana beliau sendiri tidak meluluskan garis panduan berkenaan.
”Garis panduan ini tidak lulus, hanya buang masa. Benda itu (garis panduan) tidak ada. Jadi nak buat semakan kehakiman untuk benda yang saya tidak lulus buat apa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Oppstar Berhad di Bangunan I2U Sains@ USM di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai UMANY yang akan memfailkan semakan kehakiman ke atas cadangan Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert) di IPT seliaan KPT.
Menerusi kenyataannya, UMANY berkata, tindakan itu perlu dibuat bagi melindungi autonomi mahasiswa yang didakwa semakin berkurangan jika cadangan garis panduan sedang dirangka Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) itu diluluskan.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina, melaporkan berkaitan garis panduan berkenaan mengundang kritikan kerana didakwa mengekang hak dan autonomi mahasiswa untuk menganjurkan acara hiburan.
Garis panduan itu antaranya didakwa memperkenalkan kod pakaian yang melarang pakaian memaparkan logo Illuminati, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) selain simbol lucah serta rambut punk.
Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, pihak berkaitan tidak sepatutnya mempolitikkan isu tersebut memandangkan KPT menyerahkan kepada mahasiswa dan pengurusan setiap IPT dalam menentukan garis panduan bagi penganjuran sebarang aktiviti hiburan yang ingin diadakan. – KOSMO! ONLINE