KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya berkaitan ‘fatwa’ politik dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kempas, Johor, kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihak polis menerima satu laporan yang dibuat di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, siasatan dibuka di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
“Ya, ada satu laporan diterima dan kita telah buka siasatan yang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Tindakan selanjutnya dengan mengambil keterangan beliau dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin didakwa menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai.
Jelas beliau, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.
“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya.- KOSMO! ONLINE.