PETALING JAYA – Seorang anak lelaki yang tergamak memukul bapanya menggunakan penyodok sehingga mati, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh M.Jaisino, 50, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa.
Pengakuan tidak direkodkan kerana kes bunuh itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh bapanya E.Mangalam, 74, di sebuah rumah di Jalan Belimbing, Taman Dato Hormat di sini pukul 2.15 pagi pada 26 Ogos lalu (2023).
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober ini bagi sebutan semula kes.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, seorang anak sanggup membunuh bapanya sendiri sebelum mayat mangsa dililit dengan kain langsir dan kemudian dicampak di tepi jalan di hadapan di Jalan PJS 10/24 di sini.
Dalam kejadian di rumah mangsa kira-kira pukul 12 tengah malam itu, suspek lelaki berusia 40-an memukul bapanya sehingga mati dengan menggunakan penyodok.
Ketika tragedi berdarah itu berlaku, suspek dikatakan berada dalam keadaan mabuk.
Jarak di antara lokasi mayat dicampak dengan rumah mangsa tidak sampai dua kilometer.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid siasatan awal mendapati suspek dan mangsa tinggal serumah namun sering bergaduh antara satu sama lain.
“Motif pembunuhan dipercayai suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang selalu menghina selain memberikan tekanan kepadanya yang malas bekerja dan kerap menegurnya sering minum alkohol,” kata beliau.
Tambah Mohamad Fakhrudin, pihaknya turut merampas senjata penyodok pasir dipercayai digunakan untuk memukul mangsa dan sebuah kenderaan dipercayai digunakan untuk membawa mangsa sebelum dibuang di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE