KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini agar perbicaraan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi dihentikan.
Dalam prosiding hari ini, Ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar mengemukakan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kesemua pertuduhan tersebut.
Antara alasan itu termasuklah pihak pendakwaan perlu mengkaji keterangan saksi-saksi pada perbicaraan serta bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut ke atas bukti baharu yang dikemukakan Ahmad Zahid.
Alasan lain menyentuh isu yang dibangkitkan dalam representasi bahawa pendakwaan dibuat secara cuai dan terburu-buru serta beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan terdahulu.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon Presiden UMNO itu dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menangguhkan prosiding seketika bagi keputusan permohonan tersebut.
Ahmad Zahid dihadapkan ke mahkamah pada tahun 2018 dan perbicaraan bermula setahun kemudian dengan mendengar keterangan seramai 99 saksi pendakwaan.
Pada April lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada AGC mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.
Kes tersebut kini berada di peringkat pembelaan.
Representasi lebih 200 muka surat yang dihantar secara terus kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun yang mana mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid digugurkan.
Sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan memerlukan masa yang mencukupi bagi meneliti representasi panjang lebar itu yang mengandungi isu kompleks berkaitan pertuduhan.
Pada 16 Januari lalu, Ahmad Zahid muncul kali pertama di mahkamah selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menghadapi perbicaraan kes tersebut.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia. – KOSMO! ONLINE