PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meluangkan masa bagi menyantuni rakyat di Tawau, Sabah.
Istana Negara melalui hantaram di Facebook berkata,baginda berdua berkenan menyantuni rakyat yang teruja menanti keberangkatan baginda berdua sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan di bandar Tawau, hari ini.
“Semasa keberangkatan dari lapangan terbang menuju ke hotel, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memandu sendiri kereta dengan ditemani Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
“Baginda berdua telah berulang kali meluangkan masa dengan berhenti dan turun kenderaan untuk bersalaman dan bergambar dengan penduduk yang menanti di tepi jalan raya menyaksikan keberangkatan baginda berdua di Tawau,”ujarnya dalam kenyataaan hari ini.
Menurut Istana Negara, jadual keberangkatan tiba di hotel turut tergendala kira-kira enam jam susulan baginda berdua berkenan meluangkan masa menyantuni rakyat sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa 30 minit sahaja.
“Sambutan luar biasa turut kelihatan dengan beberapa penduduk setempat mengibarkan bendera Malaysia dan Sabah dengan sorakan Daulat Tuanku sebagai simbolik menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua.
“Ada juga beberapa penduduk setempat meminta motoked Seri Paduka Baginda berdua untuk berhenti atau memperlahankan konvoi ketika melalui jalan raya berdekatan kawasan mereka bagi mendapat peluang bertemu dan bersalaman,”katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Agong dan Permaisuri akan singgah lapan daerah di Sabah sepanjang berlangsungnya Program Kembara Kenali Borneo.
Program ke Sabah dan Sarawak itu akan bermula hari ini sehingga 13 September ini.
Kembara Seti Paduka Baginda berdua akan bermula di daerah Tawau dan berakhir Telok Melano, Sarawak melibatkan jarak sejauh 2,154 kilometer (km). -KOSMO! ONLINE.