WASHINGTON – Seorang lelaki dari Connecticut, Amerika Syarikat menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai hampir AS$5,000 (RM23,237) di tempat letak kereta sebelum memutuskan untuk menyimpannya, lapor laman berita NBC News.
Namun, malang buat lelaki itu kerana tiga bulan kemudian, dia didakwa kerana mencuri wang tersebut.
Menurut polis, beg itu ditanda dengan jelas dengan lambang bank. Ia ditemui di luar bank sama dan mengandungi wang tunai daripada jabatan cukai bandar Trumbull.
Terdapat juga dokumen di dalamnya yang mengesahkan pemilik sah wang tersebut ialah bandar Trumbull, demikian menurut kenyataan polis.
Lelaki berkenaan, Robert Withington, 56, mendakwa dia tidak mencuri wang itu dan tidak menyedari terdapat dokumen di dalam beg tersebut.
Wang itu dilaporkan hilang pada 30 Mei lalu.
Polis berkata, seorang pekerja pejabat Pemungut Cukai Trumbull tidak dapat mencari beg tersebut selepas tiba di bank untuk membuat deposit pada waktu perniagaan biasa.
Withington didakwa Jumaat lalu atas kesalahan merompak dan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga AS$5,000 (23,237). – Agensi