BEIJING – Pemulihan sektor pelancongan China perlahan dengan penurunan 70 peratus bagi pengembara antarabangsa pada separuh pertama tahun ini berbanding ketika era prapandemik, lapor akhbar South China Morning Post semalam.
Menurut data imigresen China, penurunan itu adalah daripada hampir 31 juta pengembara yang masuk dan keluar dari negara itu dalam tempoh sama pada 2019, kepada sekitar 8.44 juta orang pada separuh pertama tahun ini.
Penganalisis dan tokoh industri mengaitkan rekod buruk itu dengan kesan berpanjangan akibat pendemik Covid-19 serta imej global negatif negara berkenaan serta kehilangan keyakinan sektor perniagaan di tengah-tengah ketegangan geopolitik melibatkan China.
Penyelidik bersekutu Institut Pelancongan Antarabangsa di Akademi Pelancongan China, Liu Xiangyan berkata, antara sebab yang menghalang pelancong datang ke China termasuk pemulihan pantas industri pelancongan di beberapa negara Asia lain yang dibuka semula lebih awal selepas pandemik. Kos lebih rendah di beberapa negara Asia Tenggara turut memacu keadaan itu.
Xiangyan turut meramalkan China perlu mengambil masa selama tiga tahun lagi sebelum bilangan pelancong kembali mencapai ke tahap ketika prapandemik Covid-19.
Menurut platform tempahan perjalanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Expedia, Tokyo, Jepun dan Singapura merupakan destinasi yang paling banyak ditempah untuk para pengembara Asia Pasifik pada suku kedua tahun ini.
Jepun membuka semula sempadan sepenuhnya kepada pelancong asing pada Oktober 2022, manakala Singapura dibuka semula kepada pengembara antarabangsa yang diberi vaksin lengkap pada April tahun lalu.
Sementara itu, sebuah agensi pelancongan yang berpangkalan di San Francisco, China CYTS Tours berkata, ia mengalami kerugian 95 peratus dalam perniagaan sejak 2019.
Firma tersebut mengendalikan kurang 10 lawatan ke China dalam tempoh tiga bulan lalu berbanding sekitar 200 untuk tempoh sama sebelum pendemik Covid-19.
Ketua Eksekutifnya, Charlie Zheng, mengaitkan pengurangan perjalanan ke China berpunca daripada kekurangan penerbangan dari AS, yang dipercayai disebabkan oleh ketegangan politik antara dua negara itu.
“Tiada penerbangan terus dari San Francisco ke Beijing selama tiga tahun.
“Kami harap ia boleh dipulihkan tidak lama lagi tetapi kami fikir ia tidak mudah kerana terdapat begitu banyak konflik antara China dan AS,” ujarnya.
Pada masa ini, terdapat hanya 12 penerbangan terus antara AS dan China setiap minggu. Ia dijangka meningkat kepada 18 pada September ini dan 24 pada Oktober depan di bawah perjanjian baharu yang diumumkan oleh White House baru-baru ini.
Dalam pada itu, penganalisis kanan daripada firma risikan perniagaan Morning Consult, Scott Moskowitz berkata, selain isu kos dan logistik, ketegangan yang semakin meningkat antara China dan Barat adalah sebab utama yang mendorong pelancong enggan melawati China.
“Data kami menunjukkan majoriti besar penduduk di China dan AS menjangkakan ketegangan ketenteraan dan ekonomi dua hala akan menjadi lebih teruk pada tahun akan datang.
“Jangkaan seperti ini mungkin akan membuatkan orang ramai teragak-agak untuk membuat perancangan masa depan yang mahal untuk perjalanan ke China,” katanya. – AGENSI