fbpx

Kampung jadi ‘Zoo Negara’ diceroboh haiwan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azura menunjukkan kesan tapak kaki gajah di kawasan berhampiran rumahnya di Felda Perasu semalam.

GUA MUSANG – Belum pun habis rasa takut diancam harimau dan beruang, 200 penduduk di Felda Perasu di sini diselubu­ngi perasaan cemas dengan kemunculan seekor gajah jantan yang memasuki kawasan perumahan mereka sejak Khamis lalu.

Gajah itu disedari memasuki kawasan kampung pada pukul 1 pagi dan memusnahkan pokok pisang serta kelapa yang ditanam di tepi rumah.

Sukri Solanuddin, 36, berkata, keadaan itu mengakibatkannya dan isteri, Azura Mat Hassan, 36, bersama empat lagi anak hidup dalam ketakutan selain tidak dapat tidur lena apabila melihat sendiri gajah berkenaan berada dekat dengan rumah.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika mereka pulang sebaik menyaksikan sambutan ambang merdeka di bandar Gua Musang di sini.

“Kami dengar bunyi zink dipijak dengan kuat. Saya terus keluar dan terkejut apabila melihat seekor gajah liar bergading sedang merosakkan tanaman di tepi rumah.

“Saya terus berlari masuk ke dalam rumah untuk maklumkan kepada keluarga. Kami semua ketakutan selama 20 minit sebelum saya keluar menaiki kereta untuk meminta bantuan,” katanya.

Menurut Sukri, keesokan hari, dia mengesan kesan tapak kaki, najis dan pokok yang musnah ketika membuat pemeriksaan di luar rumah.

Tambahnya, dia bimbang de­ngan keselamatan keluarga memandangkan dia bekerja di Kuala Lipis, Pahang dan pulang dua minggu sekali.

Seorang peneroka, Mat Yunus Majid, 67, berkata, serangan haiwan liar di situ sudah berlaku sejak lebih tiga tahun lalu.

“Kami telah maklumkan kepada Perhilitan tetapi tiada jalan penyelesaian sehingga hari ini. Setiap tahun ada saja tanaman penduduk musnah kerana kawasan ini dah macam ‘Zoo Negara’,” katanya.

Ujar Mat Yunus, pihaknya berharap Perhilitan lebih agresif dapat menghalau dan mengekang kemasukan haiwan di situ bagi menjamin keselamatan dan mengelak kerugian.

Tambahnya, sejak setahun lalu lebih 100 tanaman miliknya termasuk pokok kelapa musnah menjadi mangsa serangan gajah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI