KAMPAR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menyelar dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan persempadanan semula kawasan pilihan raya, jika mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Beliau berkata, kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tidak berasas kerana urusan persempadanan semula adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Saya tidak tahu dan tiada maklumat langsung, ini (persempadanan semula) ditentukan oleh SPR, sepatutnya beliau tanya SPR bukan pihak kami (kerajaan Perpaduan).
“Sebagai bekas Perdana Menteri, tak akan beliau tidak tahu bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan yang tentukan bukan orang lain kecuali SPR sahaja.
“Kadang-kadang saya meragui sama ada beliau layak atau tidak menjadi Perdana Menteri. Kalau perkara yang asas dalam Perlembagaan Persekutuan pun dia tak faham, susahlah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kampar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, di sini hari ini.
Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin dalam ceramah PN di Kempas, Johor semalam, bahawa kemenangan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai memberi kelebihan kerajaan ketika ini memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat yang membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan termasuk berkaitan persempadanan kawasan pilihan raya.
Menurut Muhyiddin, sekiranya pindaan itu dibuat, kemungkinan besar kawasan pilihan raya di negara ini bertambah daripada 222 kerusi Parlimen ketika ini menjadi 300 kerusi.
Bagaimanapun beliau berkata, langkah itu boleh disekat sekiranya pengundi di PRK Parlimen Pulai memenangkan calon PN Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 September nanti. – KOSMO! ONLINE