fbpx

Kegembiraan empat rakan kolej pulang dari perkhemahan bertukar tragedi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
(Dari kiri) Iqbal Faiz, Nurina Izzatie dan Nurul Afrahrina.

KOTA TINGGI – Kegembiraan empat rakan mengikuti perkhemahan sempena cuti sambutan kemerdekaan bertukar tragedi apabila tiga daripadanya maut manakala seorang lagi parah selepas terlibat kemalangan di Kilometer 50 Lebuh Raya Senai-Desaru, petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa, Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19, dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, yang menaiki Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi rakan mereka penumpang kenderaan sama Izznur Harith, 19, mengalami cedera parah dan dirawat di zon merah di mana kesemua mereka adalah pelajar di Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat.

Rakan satu kolej, Mohamad Hakim Md. Nor, 19, berkata, Iqbal Faiz bukan sahaja rakan belajarnya bahkan rakan serumah selepas mereka menyewa bersama-sama sejak Jun lalu.

MOHAMAD HAKIM menunjukkan gambar Iqbal Faiz merupakan antara tiga yang maut dalam nahas di Kilometer 50 Lebuh Raya Senai-Desaru, Kota Tinggi petang semalam.

“Iqbal dan tiga rakannya yang terlibat nahas itu serta beberapa rakan lain telah merancang perkhemahan sejak seminggu yang lalu sempena cuti kemerdekaan.

“Mereka menyewa kereta untuk berkhemah di Pantai Batu Layar bertolak pada Jumaat dan balik Sabtu. Ketika kejadian berlaku mereka sebenarnya dalam perjalanan balik ke Batu Pahat kerana pada hari Ahad kami sudah mulai kelas.

“Masih segar diingatan saya bila dia hendak keluar ambil kereta sewa, dia sempat berkata ‘aku gerak dulu’ tak sangka itu adalah perbualan terakhir kami sebelum saya dapat panggilan pukul 3 petang menyatakan Iqbal maut dalam kemalangan, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini.

Katanya, Iqbal Faiz adalah seorang rakan yang periang dan peramah, namun dua hari sebelum itu dia seolah-olah menyepikan diri.

Menurutnya, mereka sempat meluangkan masa makan bersama, namun makanan Iqbal Faiz tidak habis seperti tiada selera selain tidak banyak bercakap.

KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa tiga rakan dalam kejadian nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 50 Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan, gagal memotong dipercayai menjadi punca nahas yang meragut tiga nyawa pelajar kolej di Kilometer 50 Lebuh Raya Senai-Desaru petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kemalangan itu pada pukul 2.15 petang.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 20 tahun bersama tiga orang penumpang dengan dengan dua buah kereta jenis Volkswagen Beetle dan Toyota Innova. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI