fbpx

Dr. Malar kongsi kisah anak hilang ketika bercuti di pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang dimuat naik oleh Dr. Malar dalam sebuah hantaran di laman Facebook.

PETALING JAYA – Pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan atau lebih mesra disapa Dr. Malar, menceritakan dia pernah kehilangan anaknya, Avigh, ketika sedang bercuti bersama keluarga di sebuah pulau yang terletak di Semenanjung Malaysia.

Menurut hantarannya di laman Facebook, anaknya hilang ketika sedang bermain di tepi pantai bersama kakak dan juga anak kepada kenalannya.

“Walaupun saya sudah naik ke pantai, mata saya tidak pernah lekang daripada memerhatikan anak-anak. Ketika penjaga pantai tiup wisel, kami semua berkumpul dan naik ke pantai bersama-sama.

“Pada waktu inilah, anak saya minta kebenaran untuk kembali ke laut untuk mencuci tangan. Tanpa berfikir panjang, saya dan suami benarkan,” katanya dalam hantaran sama.

Menurut Dr. Malar, dia sudah cuba sedaya upaya untuk memerhatikan anaknya. Namun, dia terlepas pandang buat beberapa ketika sebelum anaknya hilang dari pandangan mata.

“Tiba-tiba, rakan anak saya menjerit meminta tolong. Katanya, mereka tidak dapat menjumpai anak saya, Avigh.

“Pada waktu itu, jantung saya bagaikan berhenti berdegup. Kemudian, saya terus berlari di tepi pantai sambil melaung nama anak,” katanya.

Menurut Dr. Malar, walaupun berada dalam keadaan cemas dan tertekan, ramai orang awam yang prihatin dan sudi menghulurkan bantuan kepadanya pada waktu itu.

“Mereka semua tanya anak saya umur berapa, pakai baju apa dan di manakah tempat terakhir anak saya dilihat.

“Saya jawab semua soalan namun semua orang tidak nampak anak saya. Malah, hampir semua orang yang ada di pantai sudah bertungkus lumus mencari Avigh. Saya juga sudah bertanya kepada setiap orang di pantai mengenai keberadaan anak saya,” katanya.

Tambahnya, dia terlalu panik dan takut sehingga terpaksa meminta tolong orang ramai yang pandai menyelam untuk mencari anaknya di dasar laut.

“Tetapi, semua orang cakap Avigh tidak mungkin tenggelam kerana dia memakai jaket keselamatan. Namun, saya masih berkeras ingin seseorang periksa Avigh di laut kerana anak saya tidak pandai berenang.

“Tidak lama kemudian, ada orang menjerit memberitahu saya bahawa anak saya telah ditemui. Pada waktu itu, semua orang nampak drama air mata antara saya, anak dan keluarga,” ceritanya.

Selepas ditanya, rupa-rupanya anaknya sedang bermain dan sudah berlari sehingga ke hujung pantai sehingga lupa arah mana yang hendak dituju.

Tambah Dr. Malar, disebabkan kejadian ini, dia tidak pernah menyalahkan mana-mana ibu bapa sekiranya ada musibah menimpa anak-anak mereka.

“Saya tahu, setiap ibu bapa berniat untuk melakukan yang terbaik untuk anak-anak. Bagaimanapun, kita tidak dapat lari daripada terkhilaf. Ada yang leka sesaat, ada juga seminit.

“Namun, kita semua sama sahaja. Kita semua ibu bapa yang mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI