fbpx

Aplikasi Pertanian Pintar bantu pasar hasil tanaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKMAL (tiga dari kanan) merasmikan Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar, Melaka.

JASIN – Kerajaan negeri akan memperkenalkan aplikasi pertanian pintar atau smart farming pertama di negara ini bagi membantu golongan petani, peladang dan industri hiliran memasarkan hasil tanpa menggunakan orang tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, anggaran kos pembangunan adalah sebanyak RM2.5 juta diusahakan sebuah syarikat swasta yang dijangka dilancarkan tahun hadapan serta dikelola Jabatan Pertanian negeri.

Beliau berkata, antara tujuan utama ia diperkenalkan adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan petani yang sebelum ini dimonopoli orang tengah sehingga mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Aplikasi ini dapat membantu mengurangkan peranan orang tengah yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda, petani boleh daftar dan pengguna boleh muat turun aplikasi ini.

“Insya-Allah dalam bajet akan datang kita harap permohonan dapat diluluskan untuk membangunkan dengan kos RM2.5 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ladang dan Program Pertanian Bandar Peringkat Daerah Jasin di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Selandar di sini, hari ini.

Tambah Muhamad Akmal, aplikasi itu juga dapat membantu mengawal lambakan hasil petani.

“Sebagai permulaan ia akan diperkenalkan kepada lebih 1,200 petani di negeri ini sebelum diperluaskan bagi sektor penternakan dan perikanan.

“Pengguna juga boleh membeli pelbagai jenis sayuran segar dari ladang dengan harga lebih murah, manakala petani pula dapat mengawal lambakan hasil tanaman,” katanya.

Akmal berkata, Melaka bakal menjadi perintis bagi pembangunan aplikasi tersebut sebelum ia dikembangkan ke seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI