Oleh M. DIN SYAMSUDDIN
WAWASAN Madani bukanlah suatu wawasan baharu, tetapi sudah ada sejak masa awal Islam, iaitu ketika zaman Rasulullah SAW dan berkembang dalam lintasan sejarah dengan berbagai improvisasi dan modifikasi.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pemaknaan penting. Beliau meletakkan landasan filosofikal dan mengajukan kerangka operasional.
Dan, yang lebih penting dalam Wawasan Madani baharu daripada Anwar terdapat upaya pemaduan antara masyarakat dan negara dan penghimpunan semua lapisan masyarakat serta sektor kehidupan/pembangunan negara.
Wawasan Madani sudah ada sejak masa awal Islam dan menjadi cita-cita sosial Islam. Pembawa agama Islam, Nabi Muhammad SAW, setelah hijrah ke Yatsrib, yang semula jadi merupakan fenomena pedesaan (rural phenomenon) mengubahnya menjadi al-Madinah yang merupakan fenomena perkotaan (urban phenomenon).
Dalam masa singkat, Nabi Muhammad SAW berhasil membangun suatu tatanan ideal iaitu al-ummah dan al-madinah. Yang pertama merupakan peranti lunak (software) dan yang kedua merupakan peranti keras (hardware).
Kedua-dua hal ini membentuk madani menurut Islam, iaitu al-ummah dan al-Madinah. Ummah, sebagai dimensi esoterik, adalah komuniti yang mempunyai kesamaan keyakinan dan tujuan, serta berasaskan pada nilai-nilai persamaan (al-musawah), keadilan (al-‘adalah), dan permusyawaratan (al-syura).
Sedangkan Madinah, sebagai dimensi eksoterik, merupakan penjelmaan daripada daya cipta warga masyarakat dalam bentuk peradaban atau tamadun maju, masyarakat Nabawi ini adalah masyarakat majmuk yang hidup berdampingan secara damai, dalam budaya saling menghormati serta saling mempercayai dan bekerjasama membangun kehidupan bersama, untuk mewujudkan cita-cita bersama.
Wawasan Madani Nabawi tersebut, pada masa pasca Nabi Muhammad SAW, dikembangkan oleh para ulama dengan berbagai konsep dan visi sesuai dengan konteks sosial budaya dan politik yang ada. Mereka mengajukan cita-cita beragam.
Para fukaha mengajukan konsep ‘Negara Sejahtera’ dengan tujuan hidup bermasyarakat untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan di akhirat (sa’adat al-darain). Para filosuf, seperti Al-Farabi mengajukan konsep Negara Utama, iaitu negara dan masyarakat yang memperoleh keutamaan kerana berpegang teguh pada nilai-nilai etika dan moral kebaikan.
Kumpulan filosuf yang menamakan diri Al-Ikhwan al-Safa’ mengajukan teori lain iaitu al- Madinat al-Fadilat al-Ruhaniyah (Negara Utama Rohaniah). Ibnu Khaldun mengajukan teori ‘umran iaitu suatu tatanan masyarakat yang bekerjasama dalam mewujudkan kemakmuran bersama.
Pada zaman moden, konsep ummah dikembangkan menjadi masyarakat konstitusional, iaitu masyarakat yang berpegang teguh pada konstitusi sebagai kesepakatan warganegara. Muhammad Abduh menambahkan tiga asas ummah (al-musawah, al-’adalah, al-shura) dengan asas keempat iaitu al-qanun atau konstitusi.
Asas keempat dari ummah ini menunjukkan bahawa pada era Negara Bangsa (nation state) kaum Muslimin hidup di suatu negara sebagai satu kesepakatan bersama kelompok-kelompok lain dalam sebuah bangsa majmuk.
Baik sebagai kumpulan majoriti mahupun minoriti, kaum Muslimin hidup berdampingan secara damai dalam persatuan dan kesatuan membangun negara.
Pada latar kaum Muslimin, sebagai kumpulan majoriti dan apalagi Islam menjadi agama rasmi negara, adalah menjadi kewajiban syar’i dan rasional pemerintahan Muslim membangun tatanan (aturan) masyarakat atas asas Wawasan Madani.
Dalam kaitan inilah Wawasan Malaysia Madani Perdana Menteri memiliki relevansi, apresiasi dan obsesi. Wawasan Madani yang digagas oleh Anwar untuk Malaysia (Malaysia Madani) menarik untuk dibahaskan.
Pertama, walaupun kepanjangan dari istilah Madani (kemaMpanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan) terasa dipaksakan, namun makna dari kata-kata tersebut dapat difahami.
Keenam-enam kata yang menjadi penjelasan konsep Madani adalah nilai-nilai etika yang berhubungan dengan makna madani dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab.
Dalam Bahasa Arab kata ‘madani’ mengandung erti maju, dan kerana ia berhubungan dengan kata ‘tamaddun’ yang sinonim dengan kata Bahasa Inggeris ‘civilization’ atau dalam Bahasa Melayu ‘peradaban’ maka kata ‘madani’ dan ‘tamaddun’ memiliki akar kata yang sama dengan kata ‘Madinah’.
Maka Wawasan Madani dapat difahami sebagai visi untuk mewujudkan tamadun atau peradaban tinggi (high civilization).
Yang kedua, keenam-enam kata itu juga, sekali gus sebagai nilai pada Madani (juga enam kata/nilai pada konsep SCRIPT: Sustainability, Care and compassion, Respect, Innovation, Prosperity, Trust merupakan nilai-nilai etika untuk kemajuan, keunggulan dan kejayaan.
Ketiga, pada Wawasan Malaysia Madani dapat difahami adanya suatu visi besar ke depan iaitu kemajuan, keunggulan dan kejayaan Malaysia.
Hal ini lebih jelas tersurat dan tersirat pada Visi Perdana Menteri seperti mana yang tertulis dalam SCRIPT for a Better Malaysia, An Empowering Vision and Policy Framework for Action (Institut Darel Ehsan, 2022, muka 23) bahawa Our Vision: To build a sustainable and prosperous Malaysia based on care and compassion, mutual respect, innovation, and trust, where inclusiveness and equality is embraced by the whole nation – ultimately a just Malaysian society.
Dalam kaitan ini, visi Anwar untuk Malaysia adalah lebih dari sekadar a welfare state (Negara Kesejahteraan), tetapi sebagai a just state (Negara Keadilan), atau Negara Kesejahteraan dan Negara Keadilan sekali gus.
Keempat, wawasan sedemikian adalah bersifat Islami dan sejalan dengan Negara Madani. Tentu paradigma etika Negara Madani tersebut mencakup nilai-nilai etika yang ada dalam al-Ummah dan al-Madinah (dua peranti dan dua dimensi daripada Cita-Cita Sosial Islam), iaitu persamaan, keadilan, permusyawaratan, selain kemajuan, keunggulan dan kejayaan.
Yang kelima, akan mudah difahami oleh masyarakat global jika Wawasan Madani dijabarkan ke dalam paradigma etika derivatif berupa nilai-nilai dasar, baik yang bersifat sentral mahupun instrumental.
Untuk kepentingan praktis kata Madani dapat juga diajukan kepanjangan baharu seperti Maju, Aman, Damai, Adil, Nikmat, dan Indah. Atau apakah ada kepanjangan lain?
Prof. Dr. M. Din Syamsuddin ialah Guru Besar Politik Islam Global, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.