RANTAU PANJANG – Seorang pelajar tingkatan enam maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di simpang masuk ke sebuah pasar raya Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang di Kampung Banggol Kulim di sini semalam.
Mangsa, Mohamad Baihaqie Abd. Ghaffar, 18, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi, Rantau Panjang maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan ke asrama sekolah itu dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun dari arah bertentangan secara tiba-tiba masuk ke simpang sebelah kanan pasar raya berkenaan.
“Insiden berkenaan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki lelaki itu bersama isterinya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohamad Roy berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-K!ONLINE