BERLIN, Jerman – Seorang wanita berketurunan Jerman-Iraq didakwa membunuh seorang wanita lain yang memiliki wajah mirip dengannya dalam usaha memalsukan kematian sendiri, lapor akhbar The Guardian semalam.
Shahraban Kh-B, 23, pada awalnya dianggap mangsa pembunuhan selepas mayat seorang wanita muda berlumuran darah ditemui di dalam sebuah kereta Mercedes yang ditinggalkan di bandar Ingolstadt, selatan Jerman pada Ogos 2022.
Beberapa ahli keluarga Shahraban mengecam mayat itu, namun laporan bedah siasat hari berikutnya menimbulkan persoalan tentang identiti mangsa. Ini kerana terdapat tatu yang tidak dapat dikenal pasti pada mayat mangsa.
Mayat wanita itu kemudian disahkan sebagai Khadidja O iaitu seorang penulis blog kecantikan berusia 23 tahun yang berasal dari Algeria dan menetap di negeri Baden-Wurttemberg.
Dua wanita itu kelihatan sangat mirip kerana kedua-dua mereka mempunyai rambut panjang, kulit wajah serupa dan memakai solekan tebal sehingga menyebabkan kes itu dinamakan pembunuhan ‘doppelganger’.
Semasa perbicaraan, pendakwa raya negeri Ingolstadt berkata, Shahraban juga telah meminta seorang lelaki dikenali sebagai A untuk membunuh saudara lelaki suaminya dengan bayaran €10,000 (RM50,181).
Seorang lelaki warga Kosovo, Sheqir K, 24, yang didakwa menjadi konco Shahraban dan membantu pembunuhan itu juga akan dibicarakan.
Motif pembunuhan berpunca daripada keinginan Shahraban untuk melarikan diri daripada pertengkaran keluarga. – Agensi