HATI seorang ibu itu selembut sutera, sangat sensitif. Jika dipegang, perlu dibelai, takut tercarik dan rosak.
Sama juga lembutnya dengan jiwa penyanyi Wany Hasrita sejak bergelar ibu kepada seorang cahaya mata.
Hati ibu mana tidak sedih jika melihat air mata si kecil mengalir membasahi pipi, walaupun kejadian itu normal bagi si bayi kecil.
Namun, jiwa Wany cepat tersentuh, malah tidak tegar melihat permata hatinya itu menangis sehingga membuatkan dirinya ikut mengalirkan air mata.
Sejak bergelar ibu pada Julai lalu, Wany mengakui adakalanya sangat tersentuh apabila melihat anak perempuannya yang diberi nama Aishah Al Iman ‘meragam’, terutama pada waktu malam.
Kata penyanyi berusia 31 tahun itu, dia menangis kerana tidak tahu apa yang sebenar yang diinginkan si kecilnya itu.
“Setakat sebulan 14 hari selepas bergelar ibu, adakalanya bila anak menangis, saya pun akan ikut menangis juga sebab tidak tahu apa yang dimahukan,” ujar penyanyi dengan senyuman manis itu.
Kata pemilik nama lengkap Nurshazwany Hasrita Hasbullah itu lagi, perasaan sedih bagaimanapun hilang apabila anaknya kembali tersenyum walaupun ketika tidur.
“Tapi perasaan sedih dan penat hilang bila tengok anak kembali tersenyum walaupun semasa tidur.
“Sekarang barulah saya tahu perasaan yang dilalui setiap ibu untuk membesarkan anak,” ujarnya.
Ibu jaga cucu
Tambah pelantun Menahan Rindu itu, menjalani kehidupan jarak jauh dengan suami tercinta, Muhd. Al-Adib Fahmi Harun yang bertugas sebagai juruterbang berpangkalan di Kuching, Sarawak juga menuntut ketabahan.
Wany bagaimanapun bersyukur kerana dibantu ibunya untuk sama-sama menguruskan bayi yang selamat dilahirkan pada 8 Julai lalu itu.
“Saya dan suami masih menjalinkan perhubungan jarak jauh (PJJ) walaupun selepas berkahwin. Ketika bersalin, dia ada ambil cuti selama dua minggu.
“Tapi selepas itu, dia terpaksa pulang semula ke Kuching. Doakanlah saya dimurahkan rezeki, jadi kaya-raya dan tidak perlu bekerja supaya boleh ikut suami,” katanya berseloroh, tetapi penuh makna.
Kata Wany, dia beruntung kerana masih tinggal bersama ibunya yang sama-sama menguruskan bayi, memandangkan tidak mengambil pembantu rumah untuk menguruskan kerja rumah.
Bukan hendak menyusahkan orang tua, namun jelas Wany, ibunya sendiri yang dengan senang hati mahu menjaga cucu, memandangkan penyanyi itu merupakan anak tunggal dalam keluarga.
“Kami tidak ada pembantu rumah. Jadi ibulah yang banyak menolong saya. Bila anak menangis, saya tidak tahu sama ada dia lapar atau perut kembung. Jadi bila ada ibu, sedikit sebanyak membantu bila saya terlalu penat.
“Saya faham mungkin ada yang tidak bersetuju tanggungjawab menjaga cucu dilakukan nenek. Tapi orang kena tahu, saya anak tunggal dalam keluarga.
“Sudah lama ibu saya tinggalkan ‘kerjaya’ menjaga anak kecil,” katanya yang merancang untuk menambah zuriat sekitar dua tahun lagi.
Tambah Wany lagi, dia enggan mengambil pengasuh untuk menguruskan anaknya kerana ragu-ragu untuk melepaskan tanggungjawab kepada orang lain.
“Saya bukan tidak percaya pada pembantu. Cuma saya ada sedikit keraguan.
“Lagi-lagi mahu mencari orang yang betul-betul pandai dan ikhlas menjaga bayi,” jelasnya.