fbpx

Trauma dipanggil perogol – Da’i Syed

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYED dan isterinya, Hana berkilan apabila episod duka dalam kehidupan mereka dikaitkan kisah lama yang cukup pedih untuk dikenang semula.

ENGGAN berdiam saat berdepan tohmahan kononnya keguguran kandungan si isteri akibat kifarah kes rogol, selebriti agama juga penyanyi, Da’i Syed tampil bersuara menegakkan kebenaran.

Tidak hanya bertegas tindakan tohmahan yang diterima lebih menjurus ke arah fitnah, Syed turut mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang dipercayai pernah mendakwa sebagai mangsa rogol kerana membangkitkan semula trauma tuduhan berat yang diterimanya ini.

Biarpun mengambil tindakan menyaman individu yang menyebarkan fitnah, pemilik nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful Jamalullai itu tetap kembali terkesan dengan pandangan masyarakat yang diterimanya sebelum ini.

Walhal pada 20 April lalu, dia telah dilepaskan dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 20 April lalu daripada semua tuduhan merogol hampir empat tahun lalu.

“Trauma, kesedihan, depresi dan ketakutan semua ada. Macam-macam saya lalui.

“Saya sangat trauma. Apa yang dilontarkan masyarakat tentang saya terutama sekali dipanggil perogol.

“Walhal nama saya telah dibersihkan mahkamah bersama 18 orang saksi. Saya hadapi ujian tanpa kecoh dan alhamdulillah selesai akhirnya,” ujarnya.

Tambahnya, insiden sekitar 2020 masih segar dalam ingatan, terutama pengalaman direman lima hari bagi membantu siasatan atas dakwaan rogol.

Pernah ‘digam’

Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan selebriti berusia 27 tahun itu, tempoh penyembuhan trauma selain menuju kehancuran karier apabila banyak projek seni ditolak ekoran kontroversi.

“Saya berubat di kampung-kampung, berjumpa ustaz dan ke kaunseling untuk pulihkan keadaan.

“Pernah juga kerja saya dibatalkan kerana nama digam. Ada label yang menamatkan kontrak disebabkan kes ini,” kongsinya.

Biarpun semua keputusan baik berpihak kepada Syed, individu terbabit dikatakan sengaja menghangatkan lagi suasana ketika isteri pendakwah itu, Hana Ismail keguguran ketika usia kandungan mencecah 10 minggu baru-baru ini.

Individu itu dengan beraninya memuat naik video dengan tulisan: “Sudah di syurga anakmu wahai si pelaku? Jangan kau sangka anakmu akan menarik tanganmu ke syurga kerana kau masih punya hutang denganku untuk aku tuntut di depan Allah.”

Ditanya jika hantaran romantis bersama isteri dalam media sosial membuatkan wanita terbabit sakit hati, Syed bagaimanapun tidak boleh menghalang perasaan manusia.

Katanya, perkongsian tersebut dibuat untuk disimpan sebagai kenangan masa depan.

Tayang bahagia

“Saya cuma gembirakan isteri. Kalau momen yang dipaparkan dalam media sosial boleh buat orang cemburu, saya tidak boleh halang.

“Saya tidak tahu. Kita simpan kenangan kerana kadangkala simpan dalam telefon akan hilang,” tutur pelantun lagu Keagungan Cintamu itu.

Bintang drama Papa Nak Menantu itu juga mengakui kenangan buruk ini tidak mampu dilupuskan selain menceritakan kisah benar kepada anak-anaknya kelak.

“Rekod memang susah dipadam. Sebab itulah saya beritahu isteri semasa mengandung, apabila anak mumayyiz (matang) saya akan memberitahu anak apa yang ayahnya lalui.

“Takut apabila dia masuk ke sekolah dan sedih. Jadi, keluarga kena tahu,” tegasnya.

Sebelum ini, Syed berdepan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita dengan cara kekerasan jenayah.

Bertahun-tahun terpalit kontroversi hitam, Syed akhirnya diputuskan tidak bersalah daripada pertuduhan tersebut. Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Syed pada akhir kes pendakwaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI