PORT DICKSON: Lebih 4 ribu anak pokok bakau jenis bakau kurap ditanam di persisiran pantai di sini bagi mengelak dan mengurangkan hakisan pantai serta memulihara biodiversiti alam sekitar.
Pengurus Flora Merah Enterprise, Japri Che Mustaffa, 54, berkata, projek penanaman pokok bakau di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dilaksanakan selama lapan minggu di dua buah lokasi berasingan di daerah ini.
“Penanaman ini bagi mengelakkan hakisan pantai lebih-lebih lagi lokasi ini ombak terlalu kuat jadi sekiranya ada pokok bakau ini ia akan dapat tahan gelombang sampai ke tebing ini.
“Terdapat dua lokasi berasingan penanaman anak pokok iaitu di sekitar Kampung Gelam, Batu 1, Port Dickson seluas satu hektar dan di Jimah Power, Lukut pula seluas setengah hektar bagi membantu memulihara persisiran pantai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jelasnya, setiap anak pokok yang ditanam akan diikat dengan tali supaya pokok tidak akan patah sekiranya gelombang ombak kuat melalui kawasan tersebut.
“Tujuan kami mengikat pokok berkenaan juga bagi memastikan pokok tidak condong malah kami juga sedang dalam peringkat percubaan menggunakan kaedah ‘pillow’ atau sabut.
“Sebanyak 150 anak pokok akan menggunakan teknik ‘pillow’ untuk melihat sejauh mana keberkesanan gelombang ombak dapat menahan pokok dari rosak atau tercabut di pesisiran Kampung Gelam, Batu 1, Port Dickson,” katanya.
Japri menjelaskan lagi, pokok bakau berkenaan dijangka mengambil masa setahun untuk hidup seterusnya dapat memastikan kelestarian ekosistem marin terus terpelihara di sekitar pesisiran pantai.
“Bagaimanapun, terdapat cabaran untuk memastikan pokok bakau ini hidup iaitu sekiranya ada minyak dari enjin kapal yang menyaluti tanah di lokasi penanaman boleh menyukarkan pembesaran anak benih.
“Selain itu, lokasi ini juga bakal mendatangkan hasil kepada nelayan seperti ketam dan udang yang akan hidup di sekitar pokok bakau berkenaan malah nelayan juga tidak perlu risau tentang gelombang ombak yang kuat sehingga boleh menyebabkan bot pecah,” katanya.
Japri berkata, dia sudah berpengalaman memasang anak benih pokok bakau di beberapa lokasi lain termasuk di Gelang Patah dan Kongkong, Johor.
“Setelah beberapa lokasi penanaman, saya dapat melihat pokok bakau ini dapat menyelamatkan pantai, malah sekiranya ada tsunami atau angin kuat pokok bakau ini akan dapat menyelamatkan persisiran pantai.
“Sebagai contoh di Gelang Patah, Johor nelayan kini menerima hasil laut tangkapan yang agak lumayan dan mereka tidak perlu ke laut dalam untuk mendapatkan ketam atau udang,” katanya. -K!ONLINE