LONDON – Liverpool mengesahkan bahawa mereka berjaya mendapatkan khidmat pemain Bayern Munich, Ryan Gravenberch dengan nilai perpindahan sebanyak £35 juta (RM204.74 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan awal pagi semalam.
Pemain berusia 21 tahun itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama The Reds sekali gus menjadi pemain tengah keempat diikat oleh skuad kendalian Jurgen Klopp selepas Alexis Mac Allister, Dominik Szboszlai dan Wataru Endo musim panas kali ini.
Sebelum melengkapkan perpindahan ke Anfield, Gravenberch turut dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United untuk kembali bergabung dengan bekas pengurusnya, Erik Ten Hag ketika di Ajax Amsterdam sebelum ni.
Klopp berharap pemain yang akan menyarung jersi bernombor 38 itu mampu menambah kekuatan jentera tengah pasukan itu selepas mereka kehilangan dua pemain berpengaruh, Jordan Henderson dan Fabinho.
“Saya sangat gembira. Teruja kerana perpindahan ini berakhir dan saya akhirnya berada di sini. Apabila anda berada di luar, anda akan dapati bahawa Liverpool adalah antara kelab terbesar di dunia,” jelas Gravenberch.
Gravenberch dianggap sebagai pemain tengah serba boleh yang boleh digunakan untuk pelbagai fungsi dengan memiliki kemampuan untuk beraksi sebagai pemain No. 6 atau No. 8 dan dianggap sesuai dengan pendekatan digunakan Klopp.
Dia merupakan produk kelahiran akademi Ajax dan telah melakukan 103 penampilan dalam semua kejohanan serta meledak 12 gol bersama pasukan senior sebelum berhijrah ke Allianz Arena pada musim lalu. – AGENSI