PUTRAJAYA – Program Kembara Al-Amin diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diharap memanfaatkan media sosial supaya ia menjadi platfom yang boleh memberikan kebaikan kepada seluruh pengguna internet di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, media sosial sudah menjadi satu platfom komunikasi yang popular dalam kalangan masyarakat hari ini.
Beliau berkata, media sosial memainkan peranan penting untuk mendapatkan maklumat, menyebarkan berita dan menyatakan pandangan dalam apa jua isu berkaitan hal ehwal dalam negara serta antarabangsa.
“Dengan ciri-cirinya yang menarik, mudah diakses dan mesra pengguna menjadikan media sosial begitu dekat dengan pengguna internet tanpa mengira latar belakang usia.
“Justeru, Jakim sebagai sebuah agensi utama persekutuan bagi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia turut memanfaatkan media sosial dalam menyampaikan maklumat dan dakwah kepada pengguna internet,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu secara maya di Facebook Live hari ini.
Zulkifli berkata, Kembara Al-Amin menampilkan 10 segmen menarik yang akan disiarkan secara berkala di media sosial Jakim bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.
Beliau berkata, segmen-segmen tersebut akan dilaksanakan dalam pelbagai kaedah sama ada bentuk poster, infografik, video dan siaran langsung.
Menurutnya, terdapat juga segmen yang dilaksanakan secara pertandingan yang menarik diringi pula dengan hadiah yang menarik.
“Segmen-segmen tersebut adalah Oh! Baru Tahu, Tanya Jakim, Heart Talk, Ajaibnya Doa, Refleksi Al-Amin, Satu Hari Satu Ayat Challenge, Vokal Orang Muda, #togethertilljannah, Menu Al-Amin dan Teka JAWI.
“Saya berharap program ini dapat menjadi satu wadah untuk mendidik diri kita menjadi insan yang lebih baik selaras dengan tujuan diutuskan Rasulullah iaitu menyempurnakan keindahan akhlak manusia,” katanya.
Katanya, beliau juga mahu orang ramai dapat memanfaatkan masa sepajang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini bersama ahli keluarga sambil menghayati setiap mesej yang disampaikan menerusi program Kembara Al-Amin ini.
Zulkifli berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Jakim diatas usaha ini dan pelajar-pelajar tahun akhir di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Shah Alam yang turut sama merekabentuk bahan-bahan dalam program ini. -K!ONLINE