PETALING JAYA- Selepas menerima bantuan daripada pendakwah terkenal, Ebit Lew, Zoo Negara menjadi trending di laman Twitter.
Namun, rata-rata netizen mempertikaikan pengurusan Zoo Negara yang disifatkan tidak cekap.
“Bertahun-tahun Zoo Negara buat ‘crowdfunding’ dan terima pelbagai jenis sumbangan tapi kenapa tak bersifat telus? masalahnya kami yg menderma ni tak tahu mana duit itu pergi,” ujar seorang pengguna, @cygaraga.
Seorang lagi netizen, @marisarfan pula ingin tahu apa masalah pengurusan Zoo Negara serta ke mana duit yang didermakan kepada badan itu belanjakan.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sila siasat laporan tahunan Zoo Negara untuk ketelusan. Kita perlu tahu ke mana yang digunakan?” katanya.
Sehingga pukul 1 petang, Zoo Negara trending dengan lebih 16,000 ciapan.
Seorang netizen, @lynfunkstar berkata, Zoo Negara perlu telus dengan perbelanjaan dan pengurusan dana.
“Saya menyokong usaha menyelamatkan haiwan tetapi rasa berhati-hati mengenai kemungkinan salah urus di sana,” katanya.
Semalam pendakwah itu memuat naik usaha beliau membantu Zoo Negara di laman Facebook miliknya.
“Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo negara untuk selamatkan haiwan disana. Perbelanjaan mereka RM1 juta sebulan hanya untuk makanan dan penyelenggaraan zoo. Sekarang dah banyak bulan tiada langsung pendapatan semenjak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka sangat kekurangan dana. Saya tahu tengah hari tadi. Petang ni terus bawa 200 kilogram (kg) daging lembu serta 500kg buah-buahan dan sayuran,” katanya dalam hantaran tersebut. -K! ONLINE