fbpx

K2

Keterujaan buru ikan agresif di laut Selat Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EDDIE berjaya mendaratkan ikan merah bersaiz besar di laut Selat Melaka.

MELIHAT luasnya laut membuatkan semangat lelaki itu lebih membara untuk menakluk ikan yang menghuni laut Selat Melaka.

Menyukai hobi memancing sejak di bangku sekolah, Mohd. Detriyaetym Haniza, 38, atau lebih mesra disapa Eddie Haniz memberitahu, lubuk memancing di kawasan itu merupakan lokasi yang digemarinya.

Menurut Eddie, memancing di laut Selat Melaka memberikan pengalaman yang lebih mengujakan kerana menakluk ikan di laut itu lebih mencabar buat pemancing.

“Laut mempunyai pelbagai jenis ikan yang mana sukar untuk diduga spesies apa yang bakal meragut umpan kita.

“Setiap pemancing ada kepuasan mereka sendiri dalam memancing dan untuk saya keterujaan itu adalah cabaran yang bakal dihadapi untuk setiap lubuk yang dikunjungi,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Tambahnya, dia lebih gemar memburu ikan di laut Selat Melaka kerana ikan di sana terdiri daripada spesies-spesies yang menjadi buruan pemancing antaranya kerapu, kurau, ikan merah dan jenahak.

Bagaimanapun, dalam kepelbagaian jenis ikan yang menjadi buruan itu, terdapat satu ikan yang paling diburu pemancing iaitu ikan kerapu hijau.

Kongsinya, ikan kerapu hijau merupakan antara ikan yang paling jarang untuk mengena umpan dan paling sukar ditawan oleh pemancing.

Spesies-spesies ikan di lautan biasanya lebih mencabar untuk ditawan.

Ikan yang juga dikenali sebagai kerapu botol itu dikatakan lebih agresif dan mencabar adrenalin pemancing jika ia memakan umpan. Ramai yang terlepas kerana gagal menawannya ke darat.

“Menangkap ikan kerapu hijau, merupakan sasaran buat setiap pemancing dan menjadi salah satu pencapaian buat mereka jika dapat menangkapnya.

“Ikan ini banyak terdapat di laut Selat Melaka, namun tidak mudah untuk menangkapnya dan antara ikan yang disukai kerana isinya yang sedap dan harganya lebih mahal jika dijual,” ujarnya.

Berkongsi tentang tip memancing di laut, Eddie memberitahu perkara yang paling utama dalam memancing adalah tidak berat mulut.

Hal ini berikutan, kebiasaannya jika memancing di laut, kebanyakan pemancing akan mengikuti aktiviti memancing dan mengambil khidmat tekong.

“Dalam aktiviti memancing biasanya akan disertai oleh pemancing-pemancing otai dan itu peluang untuk kita menimba ilmu memancing dengan mereka.

“Begitu juga tekong, pemancing perlu ringan mulut untuk bertegur sapa kerana mereka lebih arif tentang laut dan tahu mana lubuk ikan yang banyak membuah hasil,” jelasnya.

Kongsi lelaki asal Negeri Sembilan itu lagi, memancing ini adalah hobi yang mudah untuk menambah kenalan baharu, malah setiap pemancing juga tidak lokek berkongsi ilmu antara satu sama lain.

Hurainya lagi, setiap pemancing mempunyai kemahiran tersendiri dan ilmu itu tidak ada dalam buku mahupun boleh dicari secara dalam talian.

“Ilmu memancing biasanya diwarisi daripada pemancing otai kepada pemancing baharu yang bertemu dalam aktiviti-aktiviti memancing mahupun di kedai peralatan memancing yang mereka kunjungi.

“Jika mahu mahir bukan sekadar ada kelengkapan yang terbaik tetapi juga perlu ada ilmu untuk tahu bagaimana strategi menawan ikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI