WASHINGTON – Manusia paling kaya di dunia, Elon Musk bercakap tentang perpisahan menyakitkan dengan anak lelakinya dan menggelar remaja itu komunis, lapor portal berita MailOnline semalam.
Anak Musk itu kini berusia 19 tahun dan pada tahun lalu, dia secara rasmi menukar jantinanya kepada wanita, manakala nama baharunya bertukar kepada Vivian Jenna Wilson.
Bagaimanapun, Wilson berkata dalam satu permohonan mahkamah bahawa dia tidak ingin mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan bilionair tersebut yang merupakan pemilik syarikat pengeluar kereta , Tesla.
Dalam petikan daripada biografi Musk yang disiarkan akhbar Wall Street Journal semalam, pengarangnya, Walter Isaacson menulis bahawa perbalahan antara Musk dan anak lelakinya itu amat menyakitkan.
Anak lelaki sulung Musk, Nevada meninggal dunia ketika berumur 10 minggu.
Bilionair itu pada mulanya optimis apabila mengetahui tentang peralihan gender anaknya tetapi keadaan berubah apabila Wilson mula menyuarakan pandangan Marxis melampau dan menyatakan hasrat untuk memutuskan semua hubungan dengan bapanya, demikian menurut Isaacson.
“Dia melangkaui sosialisme untuk menjadi komunis sepenuhnya dan berfikir bahawa sesiapa yang kaya adalah jahat,” Musk memberitahu pengarang tersebut. – Agensi