LONDON – Tottenham Hotspur berikrar untuk segera melupakan kegagalan ketika mereka tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Burnley malam ini.
Skuad kendalian Ange Postecoglou itu tewas menentang Fulham pada penentuan sepakan penalti apabila Davinson Sanchez gagal menyempurnakan sepakan ketika aksi sebenar terikat 1-1 hasil jaringan Richarlison.
Bagaimanapun, menjelang aksi menentang Burnley menyaksikan Postecoglou berdepan kemungkinan tidak dapat menurunkan penggempur utamanya, Richarlison yang berdepan kecederaan sehingga terpaksa digantikan oleh Dejan Kulusevski ketika bertemu Fulham itu.
“Saya fikir dia (Richarlison) berdepan sedikit kecederaan. Semua orang bercakap mengenainya dan ia suatu yang bagus apabila dia sudah mula menjaringkan gol dan mempamerkan aksi yang semakin baik,” katanya.
Perkembangan itu menyaksikan pemain antarabangsa Brazil itu memasuki senarai beberapa lagi pemain Spurs yang sedang berada di bilik rawatan antaranya Rodrigo Bentancur, Ryan Sessegnon, Bryan Gil dan Tanguy Ndombele.
Kemenangan berdepan Burnley cukup penting buat Spurs untuk mengubat luka para peminat akibat tersingkir daripada saingan EFL selain mereka juga mahu mempertahankan rekod bersih apabila mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri pada tiga perlawanan sebelum ini. – AGENSI