fbpx

Harga beras putih import meningkat daripada RM2,350 kepada RM3,200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Harga jualan beras putih import seluruh negara diselaraskan daripada RM2,350 per metrik tan kepada RM3,200 per metrik tan berkuatkuasa, mulai hari ini.

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam kenyataan berkata, pelarasan itu sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

Menurut Bernas, pihaknya telah mengharungi separuh tahun pertama yang mencabar akibat ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

“Faktor-faktor ini secara kolektif telah mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan India.

“Selepas mempertimbangkan keperluan untuk memastikan operasi perniagaan yang mampan dan kestabilan industri, pelarasan harga adalah perlu dan tidak dapat dielakkan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Bernas turut bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi berkaitan serta rakan dagang antarabangsa bagi menjamin bekalan beras yang stabil.

“Meskipun pasaran makanan global kini tidak menentu dan kian mencabar, Bernas kekal utuh dan berdaya saing.

“Kami turut mengambil langkah yang bersesuaian dalam menjamin daya tahan pasaran beras domestik dengan memastikan kualiti, kestabilan harga dan ketersediaan produk. Ini adalah peranan kami sebagai Gatekeeper tunggal bagi padi dan beras negara,” ujarnya.

Tambahnya, Bernas kekal komited untuk bertindak sebagai ‘penyerap kejutan’ bagi menghalang kesan negatif akibat ketidaktentuan pasaran beras global semasa daripada melanda negara.

“Kami akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala. Bagaimanapun, Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang masih mengekalkan harga import beras terendah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI