PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa sukacita dan kagum terhadap sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Dataran Putrajaya, semalam.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Al-Sultan Abdullah bertitah, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyambutnya bagi kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
“Sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan baginda.
“Semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan pada majlis tersebut dan juga di majlis-majlis yang dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji,” titahnya.
Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Kerajaan Malaysia atas penganjuran yang luar biasa dengan penglibatan semua jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa terharu dan ucapan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang datang menyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari bersejarah itu,” katanya.
Tambanya, Seri Paduka Baginda berdua amat kagum menyaksikan persembahan yang ditunjukkan kesemua kontinjen serta peserta daripada pelbagai peringkat usia yang mempamerkan semangat kenegaraan dan cintakan negara. – KOSMO! ONLINE