fbpx

Space X bawa empat angkasawan ke ISS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROKET Falcon 9 milik fima SpaceX yang membawa kapal angkasa Crew Dragon bersama empat angkasawan dilancarkan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida semalam. - AFP

WASHINGTON – Empat angkasawan berjaya dilancarkan menggunakan kapal angkasa SpaceX Crew Dragon ‘Resilience’ menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kelmarin dalam misi yang diharapkan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi rutin pada masa hadapan .

Tiga warga AS iaitu Michael Hopkins, Victor Glover dan Shannon Walker serta angkasawan Jepun, Soichi Noguchi berlepas pukul 3.27 pagi tadi (waktu Malaysia) dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida. Misi itu menamatkan berbergantungan antarabangsa selama hampir satu dekad kepada Rusia untuk menghantar angkasawan ke ISS menggunakan roket Soyuz.

Presiden AS yang dipilih, Joe Biden memuji pelancaran itu di Twitter sebagai ‘bukti kekuatan sains dan apa yang dapat kita dapat capai dengan memanfaatkan inovasi, kepintaran dan tekad kita,’ manakala Presiden Donald Trump menyebutnya hebat.

Kapal angkasa itu terpisah daripada badan roket pada peringkat kedua, demikian menurut ahli pasukan SpaceX yang bercakap melalui komunikasi radio. Ia bermakna kapsul Dragon kini berada di jajaran tepat untuk sampai ke ISS.

Anak-anak kapal itu akan berlabuh di destinasi mereka sekitar pukul 12 tengah hari esok (waktu Malaysia) dan bergabung dengan dua kosmonaut Rusia serta seorang angkasawan AS di ISS.

Mereka akan tinggal di stesen angkasa lepas di orbit Bumi itu selama enam bulan.

Pada Mei lalu, SpaceX menyempurnakan misi demonstrasi yang menunjukkan bahawa ia dapat membawa angkasawan ke ISS dan membawa mereka kembali dengan selamat.

Pada awal minggu ini, Crew Dragon menjadi kapal angkasa pertama diperakui Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sejak Space Shuttle hampir 40 tahun lalu.

Kapal angkasa itu berbentuk kapsul dan menyerupai kapal angkasa yang mendahului Space Shuttle, manakala kenderaan pelancarnya adalah roket SpaceX Falcon 9 yang dapat digunakan semula.

Pada akhir misinya, Crew Dragon akan mengeluarkan payung terjun dan jatuh ke dalam laut sama seperti era kapal angkasa Apollo. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI