PETALING JAYA – Baru seminggu, pelakon popular Remy Ishak sudah melahirkan rasa rindu apabila pertama kali berjauhan dengan isteri, Ezza Yusof dan anak lelakinya, Tuah Alam atas tuntutan kerja.
Remy atau nama penuhnya Mohammad Zalimie Ishak, 41, mengakui tidak menyangka untuk merasai rasa rindu apabila berjauhan dengan keluarga yang selama ini sering dikongsi oleh teman-teman rapatnya.
“Sebelum ini selalu juga tengok kawan-kawan yang ada anak tidak boleh berpisah.
“Sekarang baru seminggu tinggalkan Tuah dan Ezza, barulah saya tahu perasaannya apabila berjauhan,” katanya dalam Instagram hari ini.
Dalam hantaran sama, dia yang popular menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan, itu sempat menitipkan pesanan buat Tuah agar menunggu kepulangannya dalam tempoh sebulan lagi.
“Tuah Alam sekarang sudah cukup sebulan umurnya, syukur Alhamdulillah sihat walafiat.
“Lagi sebulan Ayahanda balik ye Tuah,” ujarnya.
Difahamkan, Remy kini menjalani penggambaran filem Munajat Cinta arahan Osman Ali di Kelantan.
Terdahulu, Remy dan Ezza mendirikan rumah tangga pada 21 Ogos 2021 selepas tujuh tahun menjalinkan hubungan cinta.
Pada 27 Julai lalu, Remy mengesahka. isterinya selamat melahirkan cahaya mata pertama mereka di sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur.
Selepas tiga minggu, Remy mengumumkan nama putera sulungnya iaitu Tuah Alam yang mempunyai elemen kemelayuan. – KOSMO! ONLINE