KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan dan Anak Merdeka bukanlah satu sambutan biasa, sebaliknya bertujuan untuk menyemai rasa cinta dan bangga terhadap negara daripada generasi ke generasi.
Menurut Menteri Perpaduan Negara (KPN), Datuk Aaron Ago Dagang, perlaksanaan program serupa perlu diperhebatkan supaya semangat patriotisme dan jati diri rakyat Malaysia dapat dipertingkatkan.
“Perpaduan adalah kunci utama untuk merealisasikan harapan rakyat selaras dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
“Justeru, program seperti ini perlu disegarkan untuk membangkitkan kesedaran patriotisme dan mengukuhkan jati diri rakyat khususnya jati diri generasi muda,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Anak Merdeka Bersempena Hari Kemerdekaan ke-66 bertempat di Dewan Memorial Tun Hussien Onn, di sini, hari ini.
Turut hadir dalam majlis sama, Pengerusi Persatuan Warisan Anak Merdeka Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Mohamed Alwi Abdul Rahman.
Bagi mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, KPN telah menjalankan pelbagai bentuk aktiviti untuk mengeratkan perpaduan kaum sepanjang tahun.
“Sebagai contoh, bermula 25 Julai lepas, lafaz ikrar Rukun Negara akan dibaca dalam program-program rasmi kerajaan, semasa majlis perhimpunan di sekolah, majlis pembukaan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Selain itu, kita juga telah menjalankan pelbagai sambutan, misalnya Sambutan Minggu Perpaduan, Hari Muzium Antarabangsa dan juga Sambutan Minggu Arkib Antarabangsa yang bertanggungjawab sebagai wadah perpaduan,” katanya.
Tambah Aaron, KPN juga akan memohon peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2023 akan datang supaya lebih banyak aktiviti dapat dijalankan demi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.
Mengulas lanjut mengenai komen Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bercadang memansuhkan sistem sekolah vernakular di seluruh negara untuk merapatkan jurang antara kaum, Aaron berkata, perkara sebaliknya yang berlaku.
“Berdasarkan forum dan wacana oleh tokoh-tokoh negarawan yang kami lancarkan, sekolah vernakular kini menjadi pilihan pelajar pelbagai bangsa.
“Sebagai contoh, sekolah vernakular di Sarawak 60 peratus dihadiri oleh orang Bumiputera. Jadi, ia bukan lagi menyebabkan pepecahan malah ia menjadi faktor penyatuan antara kaum,” katanya. – KOSMO! ONLINE