MANJUNG – Percubaan seorang bekas kontraktor untuk membuat dan menjual sendiri kuih tiram ketika pandemik mendatangkan hasil apabila ia kini menjadi sumber pendapatan tetapnya bersama keluarga.
Ahmad Ismail Napiah, 43, dari Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP), Sitiawan di sini berkata, dia mula menjual kuih tiram buatan orang lain pada 2020 ketika negara dilanda Covid-19.
Katanya, sejak berhenti menjadi kontraktor, dia memilih untuk berniaga pelbagai jenis barangan termasuk makanan di pasar malam.
“Ketika Covid-19, perniagaan tak boleh diteruskan dan ketika itulah saya ambil keputusan menjual kuih tiram.
“Pada mula saya ambil komisen RM3 untuk setiap balang yang dijual. Seminggu saya dapat jual antara lima hingga 10 balang melalui kaedah jualan terus dan terus meningkat kepada 70 dalam tempoh tak sampai sebulan,” katanya.
Menurut Ahmad Ismail, pembekal kemudian tak dapat memenuhi tempahannya hingga mendorongnya menghasilkan sendiri kuih tradisional itu menggunakan resipi di internet.
Tambahnya, ketika ini dia boleh menjual sehingga 300 peket kuih tiram dengan setiap satu seberat 200 gram pada harga RM10.
“Saya melakukan jualan terus kerana lebih efektif berbanding meletakkannya di kedai-kedai.
Produk mendapat bimbingan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan kursus yang ditawarkan kepada usahawan,” kata graduan Diploma Bangunan Universiti Teknologi Mara itu.
Ujar Ahmad Ismail, dia juga menerima tempahan untuk dijadikan hadiah pada majlis perkahwinan.
“Produk itu akan dipasarkan ke Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur. Saya juga sedang mencari pekerja untuk meningkatkan lagi kuantiti kuih kerana permintaan tinggi,” katanya.