PETALING JAYA – Semangat kemerdekaan yang ditunjukkan ribuan rakyat Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan 2023, semalam wajar dijadikan inspirasi selain perlu diteruskan sepanjang hayat.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, semangat itu tidak sepatutnya berakhir semalam iaitu pada 31 Ogos, sebaliknya harus dibudayakan dari akar umbi bermula di rumah.
“Antara elemen patriotisme dalam bentuk lisan iaitu menghormati ahli keluarga, panggilan nama dan sapaan yang sopan serta mesra, termasuk saling menyantuni percakapan.
“Nilai ini adalah paling penting sebelum seseorang individu itu berinteraksi dengan persekitaran sosial selain ahli keluarga sendiri,” katanya semalam.
Siti Fatimah berkata, golongan muda boleh mencontohi teladan generasi terdahulu yang setia menyokong kesejahteraan negara melebihi kepentingan peribadi.
“Ia merupakan suatu perkara yang tidak mampu dijual beli atau disogok oleh kepentingan peribadi. Nilai kesetiaan itu wujud dari keikhlasan jiwa dalam bersama-sama menyokong inisiatif dan usaha pemimpin dalam membangunkan negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai ledakan teknologi yang mengikis jati diri rakyat Malaysia, Siti Fatimah berkata, pemerkasaan belia dari segi keseimbangan mental, emosi, rohani serta pendidikan perlu diutamakan.
Katanya, pihak berkaitan perlu memastikan golongan belia memahami asas-asas kemerdekaan selain diberi pendedahan tentang peranan dan kepentingan mereka sebagai penyambung tradisi kecemerlangan dan kemajuan sesebuah negara.