SEGAMAT – Seorang peniaga ditahan setelah memperdaya mangsa sehingga mengalami kerugian mencecah RM210,000 dengan menawarkan kira-kira 21 nombor pendaftaran ‘fancy’ yang tidak wujud di sekitar bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, suspek yang berusia 29 tahun diberkas kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Menurutnya, suspek telah melakukan penipuan tersebut sejak Mei 2022 lalu di bandar ini dan sudah berjaya memperdaya seorang mangsa dengan nilai kerugian keseluruhan RM210,000.
“Suspek bertemu mangsa sebelum mendakwa kononnya hanya mengena caj bayaran amat rendah sekiranya mahu mendapatkan nombor dua angka atau berkembar.
“Mangsa yang berminat kemudiannya memasukkan wang secara berperingkat ke akaun bank suspek sejak Mei 2022 lalu kerana mahukan nombor pendaftaran ‘fancy’ tersebut diperolehi,” katanya ketika ditemui di IPD Segamat hari ini.
Ahmad Zamry berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada pertengahan Julai lalu setelah menyedari kerugian RM210,000.
“Mangsa membuat semakan dan mendapati nombor yang ditawarkan suspek tidak wujud dalam sistem jabatan berkenaan.
“Hasil siasatan polis melakukan serbuan dan berjaya menahan suspek yang juga peniaga motosikal serta merampas pelbagai dokumen transaksi pembayaran bank mengandungi maklumat mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa adalah peniaga barangan plastik dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin turut menjadi mangsa.
Ahmad Zamry berkata, suspek lelaki yang juga warga tempatan kini direman empat hari bermula semalam.
Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE