JOHOR BAHRU – Seramai tujuh bayi merdeka selamat dilahirkan di lima buah Hospital Pakar KPJ Wilayah Selatan hari ini.
Masing-masing dua di Hospital Pakar KPJ Johor dan KPJ Bandar Dato‘ Onn, manakala seorang di Hospital Pakar KPJ Puteri, KPJ Pasir Gudang dan KPJ Kluang.
Di Hospital Pakar KPJ Johor, dua orang bayi Merdeka perempuan telah disambut penuh meriah dengan disaksikan oleh Pengurus Operasi, S. Pratabhan, dan Pengurus Komunikasi dan Pemasaran, Nurul Ain Hassan.
Seorang suri rumah, Damia Fadlyn Yusof, 24, bersama suaminya, Ahmad Al Mubarak Mohamed, 25, gembira menyambut bayi pertamanya yang dilahir pada 31 Ogos.
“Saya sangat bersyukur menerima puteri sulung kami, dan berharap puteri saya membesar dengan sihat dan bila dia dewasa nanti dapat menyumbangkan sesuatu kepada negara kita,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurut ibu muda ini kelahiran bayi perempuannya seberat 3.52 kilogram (kg) dilahirkan secara pembedahan pada pukul
10.50 pagi.
Seorang pegawai bank, Fatin Nabihah Abd Rahman, 31, dan pasangannya, Khairul Anwar Nunchik, 29, selamat menyambut kelahiran anak pertama mereka seorang bayi perempuan seberat 2.78 kg pada pukul 9.55 pagi.
“Bersyukur dan sangat gembira sebab anak pertama lahir pada tarikh yang sangat bersejarah 31 Ogos.
“Harapan saya bayi ini dapat menjadi anak yang baik, anak yang soleh dan insya-Allah membesar menjadi seorang rakyat yang faham tentang konsep negara dan cintakan,” ujarnya.
Kedua-dua bayi ini dilahirkan secara pembedahan oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan (Reproduktif), Dr. Sharifah Shahirah Binti Syed Hashim. – KOSMO! ONLINE