ALOR GAJAH – Sebuah keluarga di Durian Tunggal di sini tidak menyangka dengan menggunakan barangan dapur seperti sarang telur, tisu dicelup air sirap dapat memikat hati juri pertandingan basikal berhias.
Berkongsi idea kreatif itu, Noor Fazielah Kamisan, 35, berkata, dia mengambil masa dua hari untuk membuat persiapan pertandingan basikal berhias dan pakaian terbaik yang disertai dua anaknya, Nur Adyanina Raniya Nor Azmie, 8, dan Nur Imanina Maleesa Nor Azmie, 5.
Katanya, dia hanya menggunakan barangan yang terdapat di rumah untuk dijadikan hiasan pada basikal Nur Adyanina Raniya.
“Semua hiasan pada basikal ini saya dan suami buat sendiri dengan menggunakan barang dapur seperti tisu, sarang telur dan kordial air sirap.
“Tisu direndam dalam air untuk mendapatkan warna merah manakala sarang telur dipotong kecil, diwarnakan dan digantung pada basikal,” katanya ketika ditemui selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-66 Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Tambahnya, bagi pakaian terbaik pula dia hanya gunakan semula baju bendera tahun lepas cuma diubah suai dengan perincian bunga yang dijahit sendiri, manakala baju yang digayakan Nur Imanina Maleesa disewa dengan kos RM40.
“Nur Adyanina Raniya dan Nur Imanina Maleesa masing-masing muncul johan serta tempat ketiga untuk pakaian terbaik. Mereka sangat gembira apabila menerima sijil dan hamper,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Zurainiza Mohmad, 36, sanggup berhabis sehingga RM200 untuk menghias dua buah basikal dan menyiapkan pakaian dua anaknya, Nur Adra Mohd. Khalid, 4 dan Muhammad Amsyar Mohd. Khalid, 8.
Menurutnya, dia dan suami Mohd. Khalid Mahat, 36, tidak berkira untuk berbelanja, masa dan tenaga bagi menyemai rasa cinta dalam diri kedua anak mereka.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohamad Hafiz Abd. Ghani ketika ditemui pemberita memberitahu, sambutan itu adalah kali pertama diadakan sejak taman itu mula dibuka tiga tahun lalu. – KOSMO! ONLINE