PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mahu Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh segera membuat laporan polis bagi membuktikan dakwaan kononnya ada pihak cuba mengambil kesempatan di atas inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB).
Annuar menerusi ciapan di Twitter berkata, beliau memandang serius dakwaan dikemukakan Hannah itu.
“Saya pandang serius tuduhan YB Segambut (Hannah).
“Saya minta beliau segera buat laporan polis bagi membuktikan beliau tidak berbohong.
“Sekiranya beliau tidak berbuat demikian, beliau di anggap melakukan kesalahan kerana menyembunyikan maklumat mengenai orang yang melakukan kesalahan,” katanya.
Belum masuk hari kedua, sudah ada cakap-cakap kurang enak mengenai WBB yang dicetuskan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
Semalam, Hannah mendakwa menerima aduan bahawa ada pihak yang cuba mengaut keuntungan daripada program itu dengan mengutip bayaran bagi permohonan lesen sementara berniaga yang sepatutnya percuma.
Inisiatif WBB bermula secara rasminya hari ini apabila Annuar menyerahkan sendiri lesen sementara perniagaan kepada lebih 50 penjaja di Desa Pandan, Kuala Lumpur.-K!ONLINE