PASUKAN Tobaki Cilik Pink Racing Team (TCPRT) melakukan perubahan besar dengan ‘menurunkan’ tiga enjin baharu bagi menghadapi perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Teluk Intan, Perak hujung minggu ini.
Pemilik pasukan TCPRT, Nur Atikah Azwar berkata, pasukannya ketika ini sedang bekerja keras untuk mencari pelarasan terbaik bagi memastikan ketiga-ketiga pelumbanya mampu ‘lolos’ berada dalam grid perlumbaan sebenar.
Justeru, Atikah berharap dengan unit kuasa baharu yang bakal digunakan, ketiga-tiga pelumba tampil cemerlang dalam sesi kelayakan yang berlangsung esok.
“Jika diikutkan ketika ini kita hanya mahu perbaiki kesilapan sewaktu di Terengganu apabila berdepan masalah teknikal sekali gus mengganggu rentak pelumba untuk tampil cemerlang terutama mengutip mata.
“Ini kali pertama pasukan Pink Racing bersaing di Teluk Intan, jadi kita tidak mempunyai data yang cukup. Justeru, sesi latihan nanti kita akan gunakan sebaik yang mungkin untuk mendapatkan perlarasan yang lebih sempurna.
“Tumpuan kita pada sesi kelayakan kerana saya difahamkan hanya 24 pelumba akan berada dalam grid perlumbaan. Jadi, kita mahu semua pelumba kita berada dalam perlumbaan nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam
Pada perlumbaan di Litar Terengganu pada Julai lalu, masalah jentera merencat peluang pelumba TCPRT, Afizi Supaat untuk menamatkan perlumbaan kategori perdana CP150 dengan kedudukan terbaik selepas akur mengakhiri saingan tempat ke-18 sementara Harith Farhan Baharin turut mengalami nasib sama.