fbpx

Tak sangka anak ketujuh lahir awal 31 Ogos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHATEJAH Hanum menerima kunjungan Dr. Nor Azimi di HTAA Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang ibu tidak menyangka anak bongsunya dilahirkan sempena tarikh bersejarah negara pada 31 Ogos tahun ini berbanding tarikh jangkaan bersalin pada 8 September depan.

Khatejah Anum Ismail, 39, berkata, dia tidak menyangka bayi lelaki yang merupakan anak ketujuhnya itu dilahirkan pada pukul 9.12 minit pagi tadi.

“Memang tidak jangka langsung, pagi tadi secara tiba-tiba terasa sakit, terus ke hospital dan bersalin.

“Saya tidak sangka anak yang ketujuh ini akan lahir pada tarikh bersejarah negara ini dan saya bersyukur dipermudahkan segala urusan”katanya yang menetap di Sungai Ular, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, seramai 15 ‘bayi merdeka’ dilahirkan bersempena dengan tarikh bersejarah negara pada 31 Ogos di seluruh negeri Pahang.

Katanya, bermula tengah malam tadi sehingga pukul 11 pagi ini menyaksikan seramai lima bayi perempuan dan 10 bayi lelaki selamat dilahirkan secara normal kecuali seorang bayi yang dilahirkan melalui kaedah vakum.

“Kesemua bayi berada dalam keadaan sihat dan dilaporkan stabil yang mana ‘bayi merdeka’ pertama dilahirkan adalah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada pukul 12.09 tengah malam tadi.

“Tahniah kepada ibu bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari kemerdekaan ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena program sambutan bayi Kemerdekaan yang ke-66 anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) di HTAA di sini, hari ini.

Menurutnya, HTAA mencatatkan kelahiran ‘bayi merdeka’ tertinggi iaitu seramai lapan bayi, diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dengan empat kelahiran.

“Hospital Kuala Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands masing-masing mencatatkan satu kelahiran sehingga pagi ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI