PETALING JAYA – Dua individu parah manakala tiga lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta dan sebuah motosikal di Jalan Istana, Kuala Lumpur malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.56 malam sebelum sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kita dapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Myvi serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC135.
“Akibat pelanggaran itu kedua-dua buah kereta terbabit terbalik selain terdapat beberapa mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta tersebut sebelum dihantar ke hospital.
Katanya, penunggang motosikal turut mengalami kecederaan.
“Dua daripada lima mangsa itu cedera parah manakala tiga lagi cedera ringan. Kesemu mereka dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.29 malam.- K! ONLINE