JOHOR BAHRU – Syarikat pengeluar minuman tempatan, Haos Ek? menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya menganjurkan formasi kereta berbentuk Jalur Gemilang terbesar di Malaysia, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, program itu merupakan satu inisiatif baik dalam menanam semangat patriotik khususnya dalam kalangan masyarakat.
“Mungkin di kawasan lain, orang ramai berarak serta mengibar bendera Malaysia, namun inisiatif seperti ini merupakan satu keunikan yang mana peminat kenderaan berkumpul dan menghasilkan formasi kenderaan berbentuk Jalur Gemilang.
“Sebanyak 234 buah kenderaan terlibat dalam program ini, melibatkan kenderaan berwarna merah, putih, kuning dan biru. Ini satu inisiatif baik apatah lagi turut dicatatkan dalam rekod MBOR,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tersebut di Sireh Park, di sini hari ini.
Rekod MBOR tersebut diserahkan wakil MBOR, Edwin Yeoh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Haos Ek?, Anis Permin.
Sementara itu, Anis memberitahu, penganjuran program itu bertujuan untuk menggalakkan penyertaan orang awam dalam program yang memupuk semangat kenegaraan.
“Usaha merekodkan MBOR ini juga sebagai tanda komitmen kami dalam membawa nama syarikat dan juga negara ke tahap lebih tinggi, ke peringkat antarabangsa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE