PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia akan menghantar nota bantahan terhadap China susulan tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, nota bantahan tersebut merupakan tindakan lanjut yang akan dibuat, selain memberitahu bahawa perkara itu menjadi amalan Malaysia dalam sebarang pertikaian.
“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.
“Jadi berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya bila Malaysia akan menghantar nota bantahan tersebut, Zambry sekadar memaklumkan bahawa Malaysia akan berbuat demikian.
Semalam, media melaporkan Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’ yang meliputi kawasan maritim Malaysia.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Peta Standard China Edisi 2023 yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.
Tegasnya, Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979. – KOSMO! ONLINE