fbpx

Lebih 20,000 rakyat Kedah tetap bersemangat sambut merdeka walaupun hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai tetap memenuhi Dataran Medan Bandar, Alor Setar bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kedah, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

ALOR SETAR – Meskipun dalam keadaan hujan, lebih 20,000 penduduk negeri ini tetap hadir memeriahkan Istiadat Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Kedah pada pagi ini.

Orang ramai dilihat mula memenuhi kawasan itu sejak pukul 7 pagi tadi dalam keadaan cuaca tidak menentu iaitu mendung serta hujan renyai dan agak lebat.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff berangkat tiba pada sambutan tersebut pada pukul 9.25 pagi tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Suasana Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Kedah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, hari ini. – Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

Program dimulakan dengan istiadat pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Sallehuddin diikuti nyanyian lagu patriotik oleh Kumpulan Koir Wisma Darul Aman.

Ia disusuli istiadat perbarisan dan perarakan oleh 115 kontinjen pelbagai agensi, jabatan, institusi pendidikan, pasukan beruniform, syarikat swasta serta persatuan dan kelab melibatkan 3,700 peserta.

Semua peserta dilihat tetap bersemangat meskipun terpaksa berarak dan membuat persembahan dalam keadaan hujan.

Penduduk Langgar, Nora Asyikin Zainuddin, 30, berkata, dia bersama dua anak lelakinya berusia tujuh dan 10 tahun tiba pada program tersebut pada pukul 7 pagi tadi.

“Walaupun hujan, kami tiga beranak tetap datang memeriahkan sambutan peringkat negeri ini. Hujan sekejap lebat dan sekejap renyai, kami pakai baju hujan dan payung sepanjang program berlangsung.

“Hujan semakin lebat kira-kira pukul 11 pagi ini, namun masih ramai yang tidak berganjak dari dataran ini. Apalah sangat hujan jika nak dibandingkan dengan pengorbanan pejuang kemerdekaan kita suatu ketika dahulu,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI