fbpx

Lebih 20,000 pengunjung meriahkan Hari Kebangsaan Peringkat N. Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Muhriz pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS), hari ini. - Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

SEREMBAN – Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.

Turut mencemar, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan dan Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.

Baginda tiba kira-kira pukul 8.15 pagi turut disambut dengan lintas hormat helikopter jenis Agusta A109 LOH Pasukan Udara Tentera Darat yang dikoordinasi Tentera Darat Malaysia dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan.

Sebanyak 84 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri hari ini.

Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada 3 Pegawai dan 103 Anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Noor Azlan Husin, Pegawai Panji-panji Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja ialah Leftenan Muhamad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Ahmad Abu Bakar.

KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major Sarjan Mohd. Saiful Mohd. Haniff.

Dalam pada itu, Aminuddin turut melihat kehadiran luar jangka orang ramai yang mula memenuhi dataran padang MPS sejak seawal pukul 6 pagi.

“Alhamdulillah kehadiran luar jangka. Tahun ini, lebih 20,000 kehadiran rakyat di negeri ini bagi memeriahkan perarakan sempena hari kemerdekaan.

“Inilah semangat yang ada daripada anak-anak agar semangat patriotik dapat disuburkan sejak daripada kecil lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI