fbpx

Malbatt: Misi Bakara papar realiti sebenar kehebatan tentera Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALBATT: Misi Bakara tidak memaparkan plot penceritaan terlalu meleret dan disusun mengikut babak sehingga memudahkan penonton untuk memahami cerita yang hendak disampaikan.

SEBENARNYA, tidak langsung meletakkan jangkaan terlalu menggunung menonton filem terbaharu arahan sutradara Adrian Teh, Malbatt: Misi Bakara. 

Namun, selepas habis menonton filem dengan durasi selama 130 minit itu, pujian wajar diberikan kepada produksi kerana sekurang-kurangnya tujuan karya tersebut dihasilkan tercapai. 

Diadaptasi daripada kisah benar membabitkan kehebatan anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt), filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM20 juta itu turut melibatkan penggunaan kesan janaan komputer (CGI) antara paling maksimum dalam sejarah filem tempatan.

Perspektif ‘kita’

Mengisahkan tentang misi menyelamat lebih daripada 70 tentera Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di pasar Bakara, Mogadishu, Somalia, penonton tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan beberapa adegan mendebarkan, sekali gus membuatkan fizikal tidak ‘duduk diam’ di bangku audiens.

HAMPIR 70 peratus penggambaran MALBATT: Misi Bakara menjalani penggambaran di Turkiye

Seawal 10 minit pertama tayangan, sudah terpapar aksi menyelamat sekumpulan wartawan yang dijadikan tebusan oleh pihak pemberontak dengan babak adegan tembak-menembak antara militan Somalia dengan anggota tentera negara.

Berbeza naratif filem versi Hollywood Black Hawk Down diterbitkan pada 2001 yang langsung tidak memaparkan realiti sebenar ‘hero’ negara yang sanggup menggadai nyawa menyelamatkan anggota tentera AS, Malbatt terkandung DNA tersendiri. 

Dari sudut penceritaan, Malbatt tidaklah terlalu meleret dan plot disusun mengikut babak sehingga memudahkan penonton untuk memahami cerita yang hendak disampaikan.

‘Lari’ fokus

Bagaimanapun, tumpuan sinematik penulis sedikit terganggu apabila terlalu banyak adegan tiada kepentingan yang dipaparkan dalam filem terbabit. 

Sebenarnya, tidak salah untuk menyelitkan beberapa babak lelucon lakonan Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai LKPL Ramlee. 

Barangkali paparan beberapa babak ‘nakal’ bertujuan untuk tidak membuatkan penonton terlalu bosan, namun secara peribadi buat penulis sudah sampai waktu cerita bernuansa patriotik diadun dengan ‘mood’ serius.

Kendatipun, pujian harus diberikan kepada Sam apabila berjaya merobek emosi penonton ketika babak misi menyelamat dijalankan. Karakter ‘gila-gila’ yang ditonjolkan pada awal filem, berubah menjadi karakter ‘air mata’ yang penuh dengan emosi dan debaran.

Seperkara lagi, berasa janggal melihat cara setiap pelakon berkomunikasi kerana merasakan seperti ada yang tidak kena. Itu sedikit ‘turn off’. 

Selain itu, aksi peperangan yang memaparkan adegan tembak-menembak sebenarnya sedikit mengganggu emosi. 

Elemen CGI  boleh ‘diterima akal’ seperti tembakan atau letupan muzzle flash, rocket-propelled grenade dan juga beberapa efek letupan lain.

Menariknya, terjemahan karakter lain seperti Mejar Adnan lakonan Bront Palarae dan Leftenan Ismail (Hairul Azreen) bagaimanapun tidak menghampakan dan diadun seadilnya.

Pujian tetap harus diberikan buat Malbatt: Misi Bakara kerana memaparkan realiti sebenar peristiwa yang berlaku lebih 20 tahun lalu. Tidak salah menjadi pilihan hari merdeka!

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI