KUALA LUMPUR – Ribuan rakyat dan pelancong asing daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa membanjiri kawasan tarikan di sekitar ibu kota sempena Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-66, hari ini.
Pekarangan Dataran Merdeka, di sini mula menjadi tumpuan belasan ribu warga kota sejak petang tadi bagi melihat pelbagai persembahan serta acara yang bakal berlangsung.
Menambahkan lagi kemeriahan, pertunjukan bunga api terus menjadi tarikan utama selain persembahan daripada artis tanah air sebelum menunggu kemuncak acara pada pukul 12 malam.
Walaupun beberapa laluan masuk utama ditutup untuk kelancaran lalu lintas dan majlis, pengunjung masih tidak putus untuk memasuki ke Dataran Merdeka, di sini.
Acara setahun sekali ini turut dimeriahkan dengan pemberian bendera jalur gemilang secara percuma, sekali gus lautan kibaran bendera kebangsaan memenuhi pekarangan lokasi ini.
Selain Dataran Merdeka, terdapat lokasi lain menjadi tumpuan berkumpul sempena malam ambang merdeka antaranya di Bukit Bintang dan Pekarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC). – KOSMO! ONLINE